Tuesday, 23 July 2013

Usul Pertama: Kerajaan Perlu Membenarkan Pencaruman Berbentuk Emas


Tajuk Usul:


Kerajaan Malaysia Perlu Membenarkan Pencaruman Berbentuk Simpanan Emas

Ringkasan Usul:


Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja oleh Kerajaan Malaysia telah mengadakan peruntukan undang-undang yang berhubungan dengan suatu skim simpanan untuk persaraan pekerja dan pengurusan simpanan itu bagi maksud persaraan dan bagi perkara-perkara yang bersampingan dengannya, di mana simpanan melalui pencaruman adalah didalam bentuk Ringgit Malaysia (RM).

Justeru, usul ini dari segi tujuan asasnya adalah bermaksud untuk menengahkan cadangan supaya Kerajaan Malaysia mewujudkan akta baru yang akan memperuntukan undang-undang yang berhubungan dengan suatu skim alternatif bagi simpanan untuk persaraan pekerja dan pengurusan simpanan itu bagi maksud persaraan dan bagi perkara-perkara yang bersampingan dengannya, di mana simpanan melalui pencaruman adalah didalam bentuk emas.

Nota: Usul yang dipermudahkan ini adalah sebahagian daripada usul-usul yang lebih komprehensif yang akan disediakan kelak.

Ulasan Usul:


Inflasi


Semenjak penubuhan KWSP pada tahun 1951, kadar inflasi tahunan negara sehingga kini dianggarkan purata 4% setahun (kutipan data bermula tahun 1973). Dalam kata lain, nilai matawang Ringgit Malaysia (RM) dari segi kuasa membeli telah menurun sebanyak 80% semenjak tempoh perkiraan.

Simpanan dalam Ringgit Malaysia


Sekiranya pencarum mempunyai RM 100.00 pada tahun 1973 ia mula mencarum, nilai simpanannya hanya dapat memberikannya kuasa membeli sebanyak RM 20.00 setelah 40 tahun carumannya disimpan di KWSP (walaupun angka nyata simpanannya pada tahun 2013 kekal pada RM 100.00).

Namun jika difaktorkan bayaran dividen yang diberi KWSP dengan purata bersamaan dengan kadar inflasi tahunan yakni sebanyak 4% setahun, maka dengan penimbalan tambahan bayaran dividen terhadap penurunan akibat inflasi, akan bermaksud pencarum akan mendapat kuasa membeli pada tahap yang sama iaitu sebanyak RM 100.00 (walaupun angka nyata simpanannya pada tahun 2013 telah meningkat melebihi RM 400.00 bersamaan kenaikan sebanyak 400%).

Simpanan dalam Emas


Perkiraan mudah dengan caruman berbentuk simpanan emas pula adalah seperti berikut. Sekiranya RM 100.00 yang dicarum pada tahun 1973 digunakan untuk membeli emas untuk simpanan, maka setelah 40 tahun, anggaran nilai emas yang sama akan mencecah RM 1,000.00 (kenaikan nilai sebanyak 1000%) pada tahun 2013.

Perbandingan Prestasi Simpanan dan Risiko Berkait


Untuk mencapai prestasi kenaikan yang serupa dengan kenaikan nilai emas, KWSP perlu membuat bayaran dividen yang puratanya adalah 6% setahun. Namun, kebolehan KWSP membuat bayaran dividen yang terhasil daripada pelaburan-pelaburannya dengan purata sedemikian tertakluk kepada faktor risiko yang berkait dengan situasi ekonomi atau kewangan negara, serantau, sedunia dan juga kadar inflasi yang tidak menentu. Berbeza dengan simpanan berbentuk emas yang telah terbukti konsisten kenaikan nilainya dalam jangka masa panjang tanpa keperluan apa-apa pelaburan semula yang berisiko.

Kesimpulan Usul:


Perbandingan mudah yang dapat disimpulkan adalah bahawa pencaruman berbentuk RM memberikan kenaikan yang lebih rendah dan berisiko tinggi berbanding pencaruman berbentuk simpanan emas yang memberikan kenaikan yang lebih tinggi dan berisiko rendah. Simpanan emas yang telah terbukti konsisten kenaikan nilainya dalam jangka masa panjang juga memberikan kuasa membeli yang terjamin walaupun berhadapan dengan kadar inflasi dan situasi ekonomi atau kewangan yang tidak menentu.


PENAFIAN: Persediaan deraf usul ini adalah untuk kegunaan Ahli UMNO bagi membentang dan membahaskan usul sempena Persidangan Tahunan Cawangan 2013 yang berlangsung bermula 15 Julai 2013 hingga 31 Ogos 2013 dan seterusnya supaya usul ini dibawa ke peringkat Persidangan Mesyuarat Perwakilan Bahagian dan Persidangan Perhimpunan Agung UMNO. Ianya juga boleh digunapakai bagi persidangan-persidangan Pergerakan Sayap-sayap UMNO pada semua peringkat. Tujuan penyampaian usul ini adalah berkait isu nasional yang perlu dibawa kepada perhatian Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia supaya tindakan selanjutnya boleh dilakukan. Penggunaan usul ini selain daripada tujuan yang tersebut adalah di atas tanggungjawab pembaca sendiri.

No comments:

Post a Comment