Bismillahirrahmanirrahim
Saya, Irwan Ambak (No. Ahli UMNO: 03937029), dengan ini ingin menzahirkan niat saya untuk menawarkan diri mengetuai Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pemuda UMNO).
Tujuan utama saya berhasrat menerajui kepimpinan Pemuda UMNO—dengan slogan "Pemuda Berkat, Masyarakat Rahmat"—adalah, selaras dengan asas dan tujuan UMNO, demi melaksanakan tanggungjawab keagamaan saya kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW berserta kesetiaan kepada Raja, dalam menyampaikan peringatan dan melaksanakan amalan yang akan menjuruskan umat Islam yang bersatu, khasnya para pemuda bangsa Melayu di negara Malaysia, ke arah kehidupan yang diberkati, terutamanya dari segi kebebasan daripada kezaliman berlandaskan riba yang memusnahkan, supaya masyarakat secara amnya di bumi bertuah ini dirahmati di dunia dan di akhirat. Dengan izin-Nya, sekiranya ditakdirkan saya diamanahkan memikul tanggungjawab ini, saya akan berusaha untuk memberi khidmat yang sewajarnya dari segi menyusun pelan dan mengadakan program tindakan yang akan menyediakan manfaat bagi seluruh rakyat dalam menempuhi ujian yang bakal dihadapi negara berikutan perkembangan sosio-ekonomi sedunia yang mencabar.
Sebagai langkah persediaan dan juga sempena Persidangan Tahunan Cawangan dan Pergerakan Sayap-sayap bagi tahun 2013, saya akan menyediakan bahan-bahan berkaitan dengan tujuan seperti yang dinyatakan di atas dan ingin mencadangkan usul-usul yang boleh digunapakai untuk tujuan perbentangan dan perbahasan di persidangan sekiranya perlu. Maklumat tersebut boleh didapati dari laman web saya dan saya juga akan berusaha menghubungi pihak-pihak yang berkenaan untuk menyampaikan maklumat tersebut.
Bersesuaian dengan pengumuman ini, saya akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan dalam tatacara pencalonan untuk jawatan Ketua Pemuda UMNO mengikut kaedah dan perlaksanaan Pemilihan UMNO 2013. Bagi menghormati proses yang perlu dilalui, pengumuman ini hanya dilakukan untuk pengetahuan para ahli UMNO bagi memberi peluang perbincangan yang berkait dengan perkara ini. Saya hanya akan dapat mengemukakan pengumuman rasmi kepada pihak media am dan bersedia memberi maklumbalas secara terbuka sekiranya pencalonan saya berjaya dan disahkan kelak oleh Majlis Tertinggi UMNO dan jawatankuasa-jawatankuasa yang berkenaan.
Sekian, selamat bersidang dan terima kasih.
BERSATU • BERSETIA • BERKHIDMAT
Irwan Ambak
Setiausaha Cawangan Bukit Setiawangsa
Naib Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa
UMNO Bahagian Setiawanga
about.me/irwanambak
Nota: Jawatan berkuatkuasa Ogos 2013 adalah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bukit Setiawangsa.
ReplyDelete