Thursday 10 October 2013

Masalah Matawang Makin Meruncing

Mengapa calon Ketua Pemuda UMNO membawa agenda transformasi sistem matawang? ... 4 sebab dari calon no. 04:-


PERTAMA: Sistem berpaksikan matawang rizab sedunia US Dollar berhadapan kegagalan.

KEDUA: Rizab matawang antarabangsa Malaysia bersandarkan terutamanya US Dollar.

KETIGA: Kemusnahan nilai matawang US Dollar (“hyper-inflation”) akan secara langsung menggugat ekonomi negara-negara yang mempunyai rizab bersandarkannya.

KEEMPAT: Penerbitan matawang tanpa had dalam sistem matawang sedia ada menyebabkan beban hutang negara kian meningkat; hutang Amerika Syarikat melebihi $15 Trillion, hutang Malaysia melebihi RM500 Billion.

Persoalannya sekarang, adakah Malaysia bersedia menghadapai krisis matawang ini?
Ketahui mengapa Irwan Ambak, calon Ketua Pemuda UMNO, menjadikan isu ini asas perjuangan beliau!




Q & A - Soal jawab bersama Irwan Ambak mengenai Agenda Transformasi Sistem Matawang (Monetary Transformation Programme)


Q: Mengapa saudara membawa agenda ini?
A: Di dalam sistem matawang sedia ada, generasi ini merupakan peminjam daripada generasi akan datang. Dalam kata lain, di masa akan datang, rakyat menanggung bebanan yang semakin berat akibat kelemahan yang termaktub dalam sistem matawang dewasa ini. Maka dengan itu, saya melihat agenda transformasi sistem matawang sebagai suatu keutamaan bagi pemuda demi memperkasakan masa hadapan seluruh rakyat di Malaysia, khasnya dari segi ekonomi.

Q: Apakah relevannya agenda ini untuk Pemuda UMNO?
A: Pemuda UMNO adalah platform pelapis kepimpinan negara dan sejurusnya, Ketua Pemuda UMNO harus memainkan peranan mengenengahkan agenda ini kepada Presiden UMNO selaku Perdana Menteri Malaysia untuk persediaan perlaksanaan melalui dasar atau polisi negara demi kesejahteraan masa hadapan rakyat.

Q: Bukankah itu tanggungjawab kepimpinan Malaysia sedia ada?
A: Memang benar! Namun oleh kerana tiada pemimpin kini yang menyuarakan agenda ini, maka saya terpanggil untuk bersuara. Sekiranya kepimpinan bersedia untuk membawa agenda ini, maka barisan pemuda seharusnya akan memberikan kerjasama terbaik untuk memastikan masa depan generasi hadapan terpelihara daripada kemusnahan.

Q: Jadi bagaimanakah transformasi itu dapat dilaksanakan?
A: Perkara ini perlu diberi perhatian sewajarnya oleh kepimpinan negara dengan penuh kesungguhan (political-will) kerana ini membabitkan amanah mereka sebagai pemimpin negara yang berkhidmat untuk rakyat. Langkah saya untuk membawa agenda ini ke hadapan adalah permulaan satu usaha murni yang perlu melalui pelbagai fasa sebelum ianya dapat direalisasikan secara menyeluruh, dan saya telahpun kongsikan wawasan serta gagasan perlaksanaan transformasi ini di laman Blog saya. Sebagai permulaan, saya telahpun mengusulkan melalui persidangan UMNO, suatu usul supaya kerajaan membenarkan pencaruman bagi dana persaraan didalam bentuk emas. Ini adalah antara perlaksanaan awal bagi menyediakan asas kepada transformasi sistem matawang yang lebih meluas. Cadangan bagi aturan-aturan selanjutnya boleh diketahui melalui penulisan saya.

Q: Apakah pula pandangan saudara mengenai perjuangan-perjuangan lain yang perlu diberi perhatian oleh Pemuda UMNO, khasnya untuk dibawa oleh Ketuanya?
A: Saya melihat konteks UMNO sebagai parti tunjang Barisan Nasional yang memerintah negara. Oleh kerana itu, fungsi kepimpinan Pemuda UMNO perlu berteraskan pembawaan agenda-agenda untuk kepentingan rakyat bukan hanya untuk tempoh terdekat tetapi melangkaui zaman. Hakikatnya, perjuangan-perjuangan atau aktiviti-aktiviti lain yang lebih merupakan “current affairs” atau “reactive” semestinya juga digalas oleh Pemuda UMNO, sebagai pembawa suara akar umbi dan memenuhi keperluan semasa/tempatan. Namun adakah tumpuan hanya kepada perkara-perkara tersebut mencukupi? Seorang Ketua mestilah berwawasan dan membawa gagasan untuk kegemilangan generasi masa hadapan. Itulah sifat perjuangan yang perlu dibawa khasnya oleh Ketua Pemuda UMNO bersama saf ahli-ahli pemuda; tetapi malangnya saya tidak nampak perjuangan sedemikian menyerlah dengan barisan kepimpinan pemuda yang sedia ada, mahupun dibawa oleh mana-mana calon yang lain.

Q: Jika saudara tidak terpilih, apakah ini akan bermaksud agenda ini akan terpinggir?
A: Jawatan Ketua Pemuda UMNO adalah antara laluan yang langsung kepada kepimpinan negara agar perlaksanaan agenda ini boleh diberikan keutamaan. Namun, tidak kiralah sesiapa pun yang menjadi Ketua Pemuda, perkara ini tidak dapat dielak daripada diberikan perhatian. Saya yakin rakyat Malaysia, khasnya pemuda, akan semakin sedar akan keperluan transformasi ini kerana berhadapan dengan kebejatan ekonomi yang kian dirasai. Situasi ini hanya dapat diselesaikan dengan menangani isu sistem matawang. Tambahan lagi, terdapat banyak ruang dan platform yang boleh digunakan untuk memperjuangkan agenda ini demi kepentingan rakyat dan saya bersedia meneruskan daya usaha selagi berupaya.

Q: Boleh rumuskan hasrat saudara sebagai calon Ketua Pemuda UMNO di dalam pemilihan kali ini?
A: Saya berdoa kepada Allah SWT supaya kami diberikan petunjuk, taufik dan hidayahnya demi agama, bangsa dan tanahair. Ingatlah, keputusan kita di hari ini akan menentukan generasi kepimpinan dan corak perjuangan masa hadapan. Para perwakilan diharapkan memanfaatkan peluang yang diamanahkan ini untuk membuat pemilihan yang terbaik. Saya telah berusaha menyampaikan agenda yang ditawarkan untuk keberkatan rakyat bersama, atas dasar tanggungjawab saya sebagai seorang Islam. Semoga ahli-ahli Pemuda UMNO khasnya membuat pertimbangan yang sewajarnya sebagai pelapis barisan yang menggalas kepimpinan negara melalui parti ini, ke arah membawa masyarakat di bawah kerahmatanNya, insha Allah.



Untuk maklumat lanjut Irwan Ambak Khalid Izhar calon no. 04 Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia bagi Pemilihan UMNO 2013, sila layari www.irwanambak.com.

1 comment:

  1. Salam Irwan,
    I see your ambition for KP as a catalyst for your financial reform agenda. I wish you success insyaAllah. BTW, do you have plan B to catalyst your agenda :)

    ReplyDelete